Sejarah Peta London Underground

Peta Tube 1908

Pada awal abad ke-19 dan ke-20, sebenarnya terdapat beberapa syarikat kereta api bawah tanah yang membina landasan masing-masing. Syarikat-syarikat tadi hanya memberi maklumat tentang perkhidmatan kereta api yang berada di bawahnya, dan tidak langsung memberi sebarang maklumat daripada syarikat lain. Manakala peta-peta yang dikeluarkan pada waktu itu mengikut peta geografi piawai, iaitu mengikut bentuk rangkaian jalan-jalan raya di sekitar dan juga ciri-ciri geografi berdekatan.

Hanya pada tahun 1908, Syarikat Kereta Api Elektrik Bawah Tanah London (Underground Electric Railways Company of London, UERL) bersama empat buah syarikat lain, mengeluarkan peta perkhidmatan sepadu. Syarikat-syarikat ini menggunakan penjenamaan Underground sebagai inisiatif pengiklanan sepunya.[1] Peta (lihat sebelah) menunjukkan lapan aliran kereta api. Empat daripadanya merupakan milik UERL manakala selebihnya milik setiap syarikat.

Aliran UERLAliran-aliran lain
  • Kereta Api Bakerloo ‒ aliran perang
  • Kereta Api Tengah London ‒ aliran biru
  • Kereta Api Hampstead ‒ aliran kelabu
  • Kereta Api Piccadilly ‒ aliran kuning
  • Kereta Api District ‒ aliran hijau
  • Kereta Api Bandar dan Selatan London ‒ aliran hitam
  • Kereta Api Great Northern and City ‒ aliran jingga
  • Kereta Api Metropolitan ‒ aliran merah

Penggunaan peta geografi pada waktu ini membawa kepada satu kelemahan. Stesen-stesen di aliran District dan aliran Metropolitan yang berada jauh dari tengah-tengah London tidak dapat dipaparkan. Walau bagaimanapun peta ini membantu untuk memberi gambaran yang hampir terperinci di kawasan tengah London yang amat padat.

Penghasilan grafik peta ini terus diteruskan dalam pelbagai tampilan gaya sehingga tahun 1930, apabila MacDonald Gill buat pertama kalinya menghapuskan ciri-ciri geografi pada latar peta.[2] Hal ini menyebabkan nama stesen serta garisan petunjuk aliran kereta api dapat diubah dengan lebih fleksibel pada atas peta. Susunan aliran masih dikekalkan walaupun denai diberi sentuhan gaya. Peta Tube bercirikan geografi diterbitkan pada 1932 buat kali terakhir sebelum peta rajah diperkenalkan.

Peta-peta oleh Beck

Rajah skema Zon 1 Travelcard yang dipaparkan seperti dalam peta Tube. Kedudukan stesen-stesen tidak mengikut kedudukan geografi sebenar.Peta tidak rasmi Zon 1 Travelcard yang menunjukkan lokasi geografi stesen-stesen di sekitarnya.

Peta berbentuk rajah diperkenalkan oleh Harry Beck pada tahun 1931.[3] Beliau merupakan pekerja Underground yang menyedari bahawa kebanyakan kereta api di London bergerak bawah tanah. Baginya, kedudukan stesen secara fizikal tidak penting bagi penumpang-penumpang yang ingin mengetahui kedudukan stesen berikutnya, malah yang lebih penting ialah topologi atau kedudukan secara relatif. Kaedah ini menyerupai rajah litar elektronik. Tetapi ini bukanlah yang mencetuskan ilham Beck walaupun rakan-rakan sekerjanya menunjukkan persamaan antara dua rajah terbabit.

Peta beliau memaparkan ciri-ciri peta yang lebih ringkas dengan memaparkan hanya stesen-stesen, garisan-garisan yang menghubungkan stesen, dan juga Sungai Thames. Aliran-aliran kereta api hanya dipaparkan sebagai garisan-garisan tadi, cuma lebih lurus dan menggunakan garisan-garisan serong 45 darjah. Untuk menunjukkan stesen pertukaran antara aliran, beliau menggunakan simbol tanda palang dan juga bentuk ketupat (diamond).

Setelah petanya diterima baik oleh orang ramai apabila diedarkan pada tahun 1933, beliau terus-menerus menjadi pereka bentuk peta Tube sehingga tahun 1960. Antara perubahan yang dilakukan olehnya sepanjang tempoh itu ialah menukar simbol stesen pertukaran menjadi simbol bulat, dan juga menukar warna aliran Bakerloo daripada warna merah kepada warna perang serta aliran Central menjadi warna merah daripada warna jingga.

Rekaan beliau yang terakhir dikeluarkan pada tahun 1960. Peta keluaran pada tahun ini menunjukkan ciri-ciri sepunya yang jelas kelihatan dengan peta Tube pada hari ini.[4]

Salah satu peta asalnya dipelihara dengan rapi di stesen Finchley Central yang berdekatan dengan Finchley, iaitu tempat tinggal beliau.

Selepas tahun 1960

Menjelang tahun 1960, pegawai seranta Underground, Harold Hutchison telah mengemukakan rekaan petanya walaupun beliau bukan seorang pereka peta. Dalam keluaran ini, beliau menampilkan bucu-bucu tajam pada pepenjuru garisan landasan kereta api. Peta itu juga menonjolkan kawasan berkepadatan tinggi misalnya di sekitar stesen Liverpool Street. Beliau juga memperkenalkan simbol baru bagi pertukaran stesen, iaitu bentuk bulatan bagi stesen pertukaran antara aliran-aliran Underground dan bentuk segi empat sama untuk Kereta Api British. Simbol-simbol tadi diberi warna hitam dan juga ditindankan di atas garisan-garisan aliran kereta api, tidak seperti peta Beck; yang mengikut warna identiti aliran dan tidak ditindan-tindankan sesama stesen sepunya.[5]

Pada tahun 1964, Paul Garbutt pula memberi sentuhannya dalam reka bentuk peta. Hal ini demikian atas sebab beliau tidak menyukai rekaan Harold Hutchison. Seperti Harry Beck, reka bentuk peta ini dilengkapkan dalam masa senggangnya. Beliau menjelmakan kembali bucu-bucu dan likuan berbentuk sukuan bulatan seperti peta-peta ilham Beck. Paul Garbutt terus menghasilkan rekaan peta selama 20 tahun untuk London Underground.[6]

Pada tahun 1986, Peta Tube tidak lagi memaparkan nama pereka bentuk peta. Peta keluaran tahun ini sudah mula kelihatan hampir serupa dengan keluaran pada hari ini.[7] Dalam keluaran hari ini, peta hanya memaparkan keterangan bahawa rajah peta merupakan penambahbaikan reka bentuk Harry Beck pada tahun 1931 ("This diagram is an evolution of the original design conceived in 1931 by Harry Beck") pada sudut bawah di sebelah kanan peta.

Peta Tube rasmi tidak memasukkan mana-mana perkhidmatan kereta api besar atau yang utama, tetapi pada tahun 1973, peta Perkhidmatan Kereta Api London ("London's Railways") menjadi peta pertama yang memberi gambaran perkhidmatan London Underground dan perkhidmatan-perkhidmatan kereta api utama yang lain. Peta ini direkabentuk oleh Tim Demuth daripada pejabat seranta London Transport, menggunakan ilham Beck. Usaha ini mendapat sokongan Perkhidmatan Kereta Api British (British Rail). Walau bagaimanapun peta ini tidak menggantikan peta piawai London Underground tetapi dikeluarkan sebagai suatu pelengkap. Peta ini kemudiannya dikenali sebagai peta "London Connections".[8]

Seiring dengan beberapa pembaharuan terhadap sistem kereta api London misalnya pembukaan Docklands Light Railways dan London Overground dan pemanjangan aliran Jubilee, peta Tube turut diolah supaya lebih mutakhir. Turut dimaklumkan stesen yang bebas langkau, dan juga stesen pertukaran antara perkhidmatan London Underground dan National Rail. Stesen yang bersambung dengan perkhidmatan kereta api ke lapangan terbang dan perkhidmatan kapal sungai juga ditonjolkan. Juga ciri yang ditambah ialah stesen aliran lain atau stesen National Rail yang terletak berhampiran dengan mana-mana stesen dalam jarak yang sesuai untuk berjalan kaki. Ciri ini dipercayai berkembang daripada simbol yang digunakan sebagai denai pejalan kaki antara stesen Bank dan stesen Monument.

Apabila zon tambang London Underground diperkenalkan pada tahun 2002, ciri ini turut ditambah dalam peta supaya memudahkan penumpang dapat menganggar kos tambang. Setelah pelbagai ciri penambahbaikan telah diadakan dalam peta, namun begitu peta yang boleh didapati pada hari ini masih mengekalkan kemiripan dengan peta ilham Beck yang asal.

Rujukan

WikiPedia: Peta London Underground http://homepage.ntlworld.com/clive.billson/1963.ht... http://homepage.ntlworld.com/clive.billson/1986.ht... http://homepage.ntlworld.com/clive.billson/tubemap... http://homepage.ntlworld.com/clive.billson/tubemap... http://homepage.ntlworld.com/clivebillson/tube/196... http://homepage.ntlworld.com/clivebillson/tube/tub... http://www.eplates.info/maps/underground.html http://web.archive.org/web/20080228103621/http://w... http://www.journeyplanner.org/im/SI-T.html http://www.london-insider.co.uk/complete-london-tu...